Polis Pahang akan memohon kepada Jabatan Kimia mempercepatkan keputusan ujian toksikologi ke atas tiga pemandu kenderaan jenis go-kart yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan dua beranak terkorban,
semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata sampel darah dan air kencing pemandu Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini, yang diambil semalam telah dihantar ke Jabatan Kimia hari ini.

"Kebiasaannya tempoh menunggu untuk mendapatkan keputusan analisis dadah dan alkohol mengambil masa selama dua minggu, tetapi kita akan cuba minta ia dicepatkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata ketiga-tiga pemandu itu juga telah dibenarkan pulang petang semalam, selepas keterangan mereka diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat yang memperuntukan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kemalangan pukul 11.30 pagi semalam, penyelia kilang di Gebeng di sini, Izwan Isa, 39, dan anak bongsunya Nur Zulaikha, 5, maut manakala isterinya Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, 7, cedera akibat dirempuh satu go-kart yang terbabas semasa menonton perlumbaan itu.

Izwan maut di tempat kejadian manakala Nur Zulaikha meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Siti Suhaiza yang merupakan guru telah dibenarkan pulang pada petang semalam, manakala Muhammad Izz Danial masih menerima rawatan di HTAA dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali semalam, mengesahkan kemalangan dipercayai berpunca apabila tiga go-kart yang sedang berlumba itu bergesel sesama sendiri, sehingga menyebabkan satu daripadanya terbabas dan merempuh mangsa.

Ketiga-tiga pemandu go-kart itu tidak mengalami kecederaan. - BERNAMA