Dua rakan mati lemas ketika sedang mandi-manda di Air Terjun Hutan Lipur Berkelah dekat sini petang semalam, menurut polis.

Mangsa dikenal pasti Mohd Asif Rosmaini, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Jaya, Maran dan Muhammad Shahrizal Aiman Shamsudin, 14, dari Sekolah Menengah Agama Al-Foqiah, Bera.

Mohd Asif dari Felcra Sri Makmur di sini manakala Muhammad Shahrizal tinggal di rumah kakitangan Felda Lepar Hilir 08 di Gambang di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata kedua-dua mangsa bersama beberapa rakan lain lagi pergi ke tempat rekreasi berkenaan pada kira-kira 2 petang untuk mandi-manda.

Bagaimanapun pada kira-kira 2.50 petang secara tiba-tiba rakan mangsa terdengar jeritan dan melihat kedua-duanya sedang lemas dan mereka cuba membantu tetapi tidak berjaya dan kedua-duanya tenggelam, katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya kedua-dua mangsa berjaya dibawa naik ke darat pada 4.43 petang dengan bantuan pasukan mencari dan menyelamat skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berkata mayat pelajar berkenaan sudah dituntut waris masing-masing.