Hasrat seorang pemandu lori untuk menikmati buah mangga tidak kesampaian apabila dia maut akibat terkena renjatan elektrik dipercayai sekuat 14,000 watt ketika cuba menjolok buah berkenaan dengan menggunakan sebatang galah besi.

Kejadian berlaku di Jalan Langkawit, berhampiran Kampung Benoni, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa lelaki dikenali sebagai Madius Kandurug, 53 tahun dari Kampung Langsat, Papar, meninggal dunia serta merta di lokasi insiden sebelum mayatnya ditemui oleh rakan sekerjanya di tempat kejadian.

Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Janil Jaya ketika dihubungi berkata, mangsa terdahulu pergi ke belakang pejabat mereka untuk memetik buah mangga itu dengan menggunakan sebatang galah besi panjang.

Jelasnya, ketika cuba mendapatkan buah-buahan berkenaan galah besi yang digunakannya difahamkan terkena wayar kabel elektrik merentasi pokok terbabit sebelum berlaku litar pintas sehingga mengakibatkan mangsa terkena renjatan.

"Sebuah jentera dengan kekuatan seramai lapan anggota dari BBP Papar dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan orang awam pada jam 2.13 petang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik oleh sepasukan anggota perubatan yang turut bergegas ke lokasi kejadian," katanya.

Mengulas lanjut, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis dan sepasukan kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang menerima maklumat mengenai kejadian itu turut menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kemalangan.

Tambah beliau, operasi bantuan kecemasan itu berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang tadi.