TELUK INTAN: Tiga pejalan kaki lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga lagi parah apabila mereka dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi Rabu.

Kejadian berlaku di kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, di sini sekitar jam 8.10 pagi yang mengorbankan dua mangsa di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam.

"Kesemua mangsa berjalan kaki ke masjid berdekatan dengan tempat kejadian, mereka hendak menunaikan solat sunat Aidilfitri.

"Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga, di mana kemalangan telah meragut nyawa tiga warga asing.

"Hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan.

"Seterusnya suspek terlanggar enam individu pejalan kaki yang melalui bahu jalan itu.

"Akibat daripada kemalangan tersebut tiga warga Pakistan dalam lingkungan usia 20 hingga 35 tahun disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi parah dan dirawat di Hospital teluk intan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Ahmad Adnan menambah, semua mangsa mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, polis telah menangkap pemandu kereta terbabit untuk siasatan lanjut.

"Suspek telah ditahan kerana positif ganja dan akan direman esok, Khamis di Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi siasatan lanjut.

"Saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek berusia 36 mendapati dia positif dadah jenis THC (ganja).

"Polis turut menahan kenderaan terlibat bagi pemeriksaan Puspakom," katanya.

Kes itu, katanya, dijalankan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berlaku.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Insp. Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau 05-612 2222,” kata beliau lagi.