Tragedi pergi mengajar: Dua guru maut, dua lagi parah dalam kemalangan di Tawau

Semua mangsa perempuan yang berumur antara 24 hingga 38 tahun itu merupakan guru di Sekolah Kebangsaan(SK) Umas Umas di Felda Umas Tawau.

Pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian di Jalan Merotai, Tawau pagi tadi. - Foto Astro AWANI | Astro Awani
Dua guru maut manakala dua lagi rakan mereka cedera parah dalam satu kemalangan jalan raya di kilometer 32 Jalan Merotai, Tawau pada awal pagi Rabu.
Semua mangsa perempuan yang berumur antara 24 hingga 38 tahun itu merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas Umas di Felda Umas, Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, sebelum kejadian, kira-kira pukul 6 pagi kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Tawau sedang menuju ke sekolah.
Tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu oleh salah seorang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke gaung berhampiran sebuah jambatan di Sungai Merotai.
Mangsa Dayana Damsah, 27 tahun, tercampak keluar dari kenderaan dan dikejarkan oleh penduduk kampung ke Klinik Kesihatan Merotai yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Semua mangsa perempuan yang berumur antara 24 hingga 38 tahun itu merupakan guru di Sekolah Kebangsaan(SK) Umas Umas di Felda Umas Tawau. - Foto Facebook Muslimat
Pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau yang tiba di lokasi mengeluarkan tiga lagi mangsa yang masih berada dalam kenderaan dan dikejarkan ke Wad Kecemasan Hospital Tawau oleh pasukan EMRS Bomba.
Bagaimanapun mangsa, Nurizyani Kafli@Masri, 24 tahun disahkan meninggal dunia oleh doktor sewaktu menerima rawatan di hospital.

Sementara seorang lagi mangsa, Nurzairah Aladin, 35 tahun, mengalami cederah parah di dada dan patah tangan kiri manakala pemandu kenderaan terbabit hanya mengalami cedera ringan namun masih dalam pemerhatian pihak hospital.
Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.