KUALA LUMPUR: "Saya tidak sangka panggilan video dengan ayah pada 5 Dis lepas adalah panggilan terakhirnya," kata anak Allahyarham Radin Abd Kharim Radin Mamfudz, 64, yang merupakan salah seorang daripada dua mangsa maut dihempap pokok tumbang di Jalan Bukit Belacan Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, di sini, petang tadi.

Radin Muhd Nur Amri, 33, yang merupakan anak kedua arwah daripada sembilan adik-beradik, berkata semasa panggilan video bersama bapanya, Radin Abd Kharim sempat mengambil gambar dan bersembang dengan cucu.

"Saya sempat membuat panggilan video bersama ayah dan kali terakhir berjumpa dengan dia sebulan lebih yang lepas.

"Saya bekerja sebagai guru dan tidak sempat balik kerana ada kelas tambahan maka pada cuti sekolah bercadang untuk berjumpa dengan ayah," katanya kepada Bernama di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Ampang, di sini, malam ini.

Radin Muhd Nur Amri berkata beliau sedih atas pemergian bapanya kerana telah lama tidak berjumpa.

Isteri Allahyarham, Masitah Ahmad, 61, berkata arwah suaminya dalam perjalanan untuk berjumpa rakan-rakannya berdekatan kawasan Lembah Jaya selepas menghantar salah seorang anak mereka untuk menerima rawatan dialisis pada jam 4 petang tadi di Hospital Ampang.

"Ia memang merupakan rutin arwah untuk berjumpa dengan rakan-rakan di kawasan itu setiap kali membawa anak menerima rawatan dialisis," katanya sambil menambah jenazah arwah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa, Batu 18, Hulu Langat, pagi esok.

Hari ini, satu kejadian pokok tumbang menghempap sebuah kereta dan sebuah motosikal di jalan berkenaan pada jam 3.51 petang tadi dan menyebabkan pemandu kereta, Radin Abd Kharim meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal Muhammad Hisyammuddin Ahmad Syakif, 23, meninggal dunia di Hospital Ampang.

Sementara itu, bapa Allahyarham Muhammad Hisyammuddin iaitu Ahmad Shakif Mohd, 53, berkata pemergian anak lelakinya itu merupakan satu kehilangan yang besar buat keluarganya kerana arwah merupakan seorang anak yang baik.

"Bagi saya arwah ini seorang anak yang ceria, baik dan anak yang membantu dalam segi apa (segala segi) dan memang dia tak pernah menyusahkan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet, yang turut hadir menyantuni keluarga mangsa, berkata pihaknya akan berkerjasama dengan kerajaan negeri untuk mempercepatkan bayaran khairat kematian di bawah Skim Insan Selangor.

-- BERNAMA