Seorang pemandu treler nyaris maut selepas kenderaannya yang berisi muatan bijih besi batu amang mengalami masalah teknikal sebelum terbalik di bahu jalan pada Khamis.

Kemalangan berlaku di Kilometer 33, Jalan Kuala Berang - Tasik Kenyir kira-kira jam 7.18 malam tadi.

Ketika kejadian, pemandu yang berusia 40 tahun itu dari arah Gua Musang menuju ke Pelabuhan Gebeng, Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, ketika menuruni bukit yang berselekoh, treler tersebut telah mengalami masalah teknikal dan sistem komputer telah terpadam menyebabkan enjin, sistem brek dan stering tidak berfungsi.

Katanya, susulan itu mangsa mengambil keputusan untuk memandu treler ke bahu jalan di sebelah kanan arah menghala ke Kuala Berang dan telah melanggar tebing bukit.

Ekoran itu, treler yang dipandunya terbalik ke bahu jalan dan mengakibatkan muatan bijih besi batu amang telah melimpah di atas kedua-dua lorong jalan tersebut.

Mohd Adli berkata, pemandu berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.