PUTRAJAYA: Analisis semasa Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati trend jangkitan influenza di negara ini merekodkan bacaan yang stabil, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza (ILI) antara 6.14 dan 6.44 peratus, manakala kadar kemasukan pesakit ke wad dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) ialah 6.98 peratus hingga 8.79 peratus sepanjang bulan lepas.

"Aktiviti survelan makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) juga tidak mengesan sebarang kelainan atau perubahan atau mutasi pada virus influenza yang menular pada ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim akan menyebabkan demam selesema yang ringan pada kebanyakan individu dan jangkitannya cenderung berlaku sepanjang tahun, selain boleh menyerang semua peringkat umur termasuk kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Dr Muhammad Radzi berkata peningkatan trend jangkitan yang direkodkan itu melibatkan virus influenza sedia ada iaitu 54 peratus virus influenza A(H1N1), 40 peratus virus influenza A (H3), lima peratus virus SARS-CoV-2, dan satu peratus influenza B pada Minggu Epidemiologi ke-31 (ME 31/2023) iaitu bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos lepas.

Selain itu, katanya terdapat 19 kluster jangkitan berkaitan saluran pernafasan selain COVID-19 yang dilaporkan pada ME 31/2023, meningkat daripada 18 kluster yang dilaporkan pada ME 30/2023 iaitu bagi tempoh 23 hingga 29 Julai lepas.

"Sejumlah 155 kes terlibat dalam kluster tersebut dan jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan hingga ME 31/2023 adalah 199 berbanding 282 bagi tempoh yang sama tahun lepas, iaitu penurunan 83 kluster (29.4 peratus)," katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata kluster tertinggi yang dilaporkan berlaku di sekolah menengah dan rendah iaitu 101 kluster bersamaan 50.8 peratus, diikuti 40 kluster atau 20.1 peratus di tadika.

"Tiada kes kematian dilaporkan daripada kesemua kluster yang telah direkodkan sepanjang tahun ini," katanya.

-- BERNAMA