Skip to main content

Dunia

Trump naikkan tarif global kepada 15 % selepas keputusan Mahkamah Agung

U.S. President Donald Trump speaks to reporters onboard Air Force One, on travel from West Palm Beach, Florida, to Joint Base Andrews, Maryland, U.S., February 16, 2026. REUTERS/Elizabeth Frantz
PresidenTrump mengumumkan bahawa kadar tarif global baharu akan dinaikkan kepada 15 peratus, hanya sehari selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif import terdahulu yang diperkenalkan pentadbirannya. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa kadar tarif global baharu akan dinaikkan kepada 15 peratus, hanya sehari selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif import terdahulu yang diperkenalkan pentadbirannya.

Pengumuman itu dibuat melalui platform Truth Social di mana Trump berkata, pentadbirannya menggunakan kuasa maksimum di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 - satu peruntukan yang jarang digunakan - bagi mengenakan tarif sementara tanpa kelulusan Kongres.

Advertisement

Sebelum ini, Trump menyatakan bahawa tarif seragam 10 peratus akan dikuatkuasakan ke atas semua barangan import.

Kenaikan tarif ini dibuat susulan keputusan 6-3 Mahkamah Agung, yang mendapati Trump melampaui kuasa Presiden ketika menggunakan undang‑undang kecemasan ekonomi (IEEPA) untuk melaksanakan tarif global tahun lalu.

Trump mengecam keputusan itu sebagai “ridiculous” dan menuduh beberapa hakim bertindak “anti-Amerika.”

Kadar 15 peratus yang baharu ini mewujudkan ketidaktentuan baharu bagi negara seperti United Kingdom dan Australia, yang sebelum ini memiliki perjanjian tarif 10 peratus dengan AS.

Namun begitu, sektor seperti keluli, aluminium, farmaseutikal, automotif dan aeroangkasa tidak terjejas kerana ia tertakluk di bawah undang‑undang tarif berbeza yang kekal berkuat kuasa. 

Reaksi daripada komuniti perniagaan AS bercampur-campur.

Sebahagian pengusaha menganggap tarif membantu industri domestik, manakala pengimport, peruncit dan petani menyifatkan langkah itu membebankan dan meningkatkan kos operasi.

Beberapa kumpulan perniagaan turut menggesa kerajaan AS memastikan dasar tarif lebih stabil dan tidak mengganggu rantaian bekalan.

Keputusan Mahkamah Agung membuka laluan untuk syarikat menuntut semula tarif yang dikutip secara tidak sah, namun Trump memberi amaran bahawa proses undang‑undang untuk bayaran balik berkemungkinan memakan masa yang panjang.

Pertubuhan perniagaan utama di AS sebaliknya mendesak supaya proses refund dipercepatkan bagi menyokong perniagaan kecil dan pertumbuhan ekonomi.

Pemimpin Eropah termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron, serta Canselor Jerman, Friedrich Merz, memberi amaran bahawa ketidaktentuan berulang dalam dasar tarif AS menjejaskan keyakinan ekonomi global.

Mereka menyeru peraturan dagangan antarabangsa yang lebih stabil dan berasaskan prinsip timbal balik. - Agensi

Must Watch Video