IPOH: Seorang lelaki warga emas maut selepas digilis beberapa kenderaan dalam nahas di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Menglembu di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa, K Muniandy, 69, yang mengalami kecederaan parah dengan sebahagian badannya berkecai disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan diterima daripada orang awam memaklumkan terdapat kemalangan maut membabitkan pejalan kaki.

"Siasatan mendapati, sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 60 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Disebabkan keadaan jalan gelap dan jarak yang dekat, lelaki terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa dipercayai turut dilanggar oleh beberapa kenderaan yang tidak pasti.

"Seorang wanita berusia 34 tahun yang memandu Proton Persona kemudiannya telah datang ke balai polis membuat laporan telah terlanggar objek dipercayai mangsa di tengah jalan.

"Akibat kemalangan itu, anggota badan mangsa berkecai sebahagiannya. Anggota bomba turut membantu membersihkan jalan dan operasi tamat pada jam 9 pagi," katanya.

Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

"Usaha mengesan waris sedang giat dilakukan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian