KUALA LUMPUR: Tujuh individu daripada satu keluarga ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) intelektual di sebuah rumah di Jalan Serdang Raya 1, Seri Kembangan dekat sini, semalam.

Mereka terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 25 hingga 79 tahun berasal dari Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata pihaknya menerima pemakluman kes itu pada 12.12 tengah hari daripada seorang wanita yang memberitahu bahawa adik perempuannya, 20, telah meninggal dunia di rumah berkenaan.

Beliau berkata mangsa, yang memegang kad OKU, telah memarahi serta mencubit dua ahli keluarga itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Susulan itu, mangsa telah dipukul dengan kayu panjang dan diseterika secara berulang kali sehingga mengalami kecederaan.

Anbalagan berkata mangsa dijaga oleh keluarga berkenaan dan bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi mengetahui punca kematian.

Beliau berkata empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala tiga lagi yang berusia 25 hingga 79 tahun diberi jaminan polis.

"Polis menyarankan kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini agar tampil atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Rosnani di talian 018-277 1866," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

-- BERNAMA