KUANTAN: Seorang tukang rumah dihadapkan ke dua Mahkamah Majisret di sini hari ini, atas pertuduhan menipu berjumlah RM36,000 dalam urusan pembelian tanah dan permohonan lesen pendudukan sementara (LPS) pada tahun 2018 dan 2020.

Tertuduh Zainondin Idris, 55, yang beralamat di Kuala Terengganu, Terengganu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Pada prosiding di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah, tertuduh didakwa menipu Zainal Abidin Abdul Rahman, 56, dalam urusan pembelian tanah seluas 0.3 hektar di Sri Damai di sini, bernilai RM12,000 pada 11 pagi, 18 Dis 2018 di Pejabat Tanah dan Galian Pahang di sini.

Bagi kesalahan itu, Zainondin yang mempunyai lapan orang anak didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Nurul Farahah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin kepada Zainondin.

Sementara itu, di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, Zainondin didakwa menipu Rolselan Md Nor, 53, untuk menyerahkan wang berjumlah RM24,000 bagi urusan permohonan LPS dua lot tanah pada 7 petang, 6 Dis 2020 di sebuah kedai makan di Seberang Balok di sini.

Selepas mempertimbangkan rayuan Zainondin, Ainis membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Jan ini bagi lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Aini Adila Mohd Faizal dan Wan Azreen Wan Zaid.

-- BERNAMA