KOTA KINABALU: Seorang pengguna dan pencipta kandungan TikTok, Zuraidah Nasir hari ini tampil memohon maaf selepas memuat naik video yang memperlekehkan kapal KD Selangor milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Zuraidah atau dikenali dengan Eyda, 34, bersama tiga individu lain telah bertemu dengan Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar di sini hari ini bagi menyampaikan permohonan maaf berkenaan.

Beliau berkata permohonan maaf itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan dibuat dengan setulus hati apabila beliau menyedari serta mengakui segala kesilapannya.

"Permohonan maaf ini juga saya tujukan kepada semua warga Malaysia umumnya dan warga netizan khasnya. Eyda tiada niat sekalipun untuk merendahkan atau menjatuhkan maruah TLDM.

"Eyda juga ingin memohon kerjasama semua pihak dan warga netizan memadam video konten yang telah Eyda tutup dan memohon agar isu ini tidak dihangatkan lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata proses pembikinan video yang dirakam pada 30 April lalu sempena Hari Terbuka Armada dan Ulang Tahun TLDM ke-89 itu juga tidak melibatkan mana-mana anggota TLDM.

Dua video yang berdurasi 59 saat dan 12 saat itu dimuat naik melalui akaun bernama zuraidahnasir pada 9 Mei lepas menjadi tular dan mendapat kecaman netizen berikutan perlakuannya yang memperlekehkan selain berpelakuan kurang sopan ketika berada di dalam aset TLDM itu.

Sementara itu, Muhammad Ruzelme berharap kejadian itu tidak akan berulang lagi terutamanya apabila melibatkan kawasan yang menempatkan aset-aset keselamatan negara.

Beliau berkata perkara itu akan menjadi pengajaran serta iktibar kepada orang ramai dalam menjaga sensitiviti dan etika dalam mengeluarkan sesuatu kandungan video dalam media sosial.

"Hari ini dia (Zuraidah) datang membuat permohonan maaf, kami terima dan berharap ia akan menjadi iktibar kepada pencipta kandungan yang lain," katanya.

-- BERNAMA