IPOH: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan yang dikatakan berlaku di Station 18, di sini, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain kedua-dua lelaki berusia 27 tahun itu, polis juga sedang mengesan saki baki suspek untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh serta khianat.

Katanya, hari ini, polis telah mengesan satu hantaran yang tular di media sosial melibatkan video pergaduhan yang dikatakan telah berlaku di Station 18.

“Hasil semakin mendapati pihak polis telah pun menerima laporan mengenai kes berkenaan pada 27 Januari, lebih kurang jam 11.51 malam berkaitan satu kejadian rusuhan di hadapan sebuah restoran di kawasan Station 18, Ipoh,” katanya di sini.

Beliau berkata, kejadian melibatkan seorang mangsa lelaki yang memandu sebuah kereta dan telah dituduh mencuri telefon bimbit.

Menurutnya, berikutan daripada tuduhan tersebut, berlaku kejadian kejar-mengejar di antara mangsa dan suspek sehingga kenderaan yang dipandu mangsa melanggar sebuah kereta lain.

Ia kemudiannya membawa kepada rusuhan dalam kalangan sekumpulan remaja yang dipercayai pekerja perkhidmatan penghantaran makanan.

Kata Mior Faridalathrash, kenderaan mangsa telah dirosakkan dengan menggunakan kerusi plastik, batu serta kon plastik.

“Siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan salah faham dan tuduhan kecurian telefon bimbit oleh mangsa tidak dapat dibuktikan,” ujarnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil memberi keterangan dalam usaha untuk mengesan suspek lain yang terlibat.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan polis.