KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar akan dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negara terlebih dahulu.

"Jenazah akan disolatkan di Masjid Negara, sebelum disemadikan di Makam Pahlawan," katanya kepada petugas media di kediaman Allahyarham Mohammed Hanif di Seksyen 13, Shah Alam pada Sabtu.

Ketika ini, jenazah Allahyarham berada di Masjid Negara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan selepas dibawa daripada kediamannya di Seksyen 13, Shah Alam.

Beberapa pegawai kanan tertinggi polis turut dilihat berada di pekarangan masjid berkenaan selain persediaan persiapan penuh istiadat sedang dijalankan.

Pada Sabtu, Tun Mohammed Hanif Omar dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.15 pagi.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Kapten Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif menerusi platform WhatsApp awal pagi Sabtu.

Mohammed Hanif yang lahir pada 16 Januari 1939 merupakan Ketua Polis Negara Malaysia yang keempat dan juga Ketua Polis Negara paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 20 tahun. - Sinar Harian