KUALA LUMPUR: Bulan lepas, bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali menerusi Facebooknya memuat naik empat soalan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan meminta beliau menjawabnya.

Empat soalan tersebut, semuanya menyentuh pelbagai isu dan ia termasuk kes tuntutan Pulau Batu Puteh dan surat pada 2019 kepada kerajaan Malaysia yang pada itu diperintah Pakatan Harapan (PH) membabitkan tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Selain itu, soalan berkaitan pemecatan Apandi sebagai Peguam Negara dan kekayaan anak-anak Dr Mahathir turut dibangkitkan dan hari ini, menerusi Facebook juga, Ahli Parlimen Langkawi itu menjawab semua soalan tersebut.


Berkaitan kes Pulau Batu Puteh, Dr Mahathir menjelaskan tuntutan itu ditarik balik kerana perjanjian Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Singapura ialah, segala keputusan mahkamah akan diterima kedua-dua pihak.

Jelas beliau, perjanjian sama juga pernah dibuat antara Malaysia, Indonesia dan mahkamah antarabangsa berkenaan Sipadan dan Ligitan.

Tambah beliau, jika Malaysia memungkiri perjanjian antarabangsa sebegitu, negara lain tidak akan percaya Malaysia mampu menunaikan perjanjian sekali gus menyebabkan negara akan hilang kredibiliti.


“Lagipun Malaysia mendapat ‘Middle Rock’ yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang diperbuat dengan Pulau Layang-Layang.

“Kesalahan bermula dengan pegawai Kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Pulau Batu Puteh bukan milik Johor.

“Fakta baru, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia,” tulis beliau di laman Facebooknya pada Rabu.

Mengulas surat tuntutan waris Kesultanan Sulu pada 2019, Dr Mahathir mendakwa tuntutan waris Kesultanan Sulu dibuat apabila Malaysia memberhenti bayaran setiap tahun sedangkan semasa bayaran diteruskan mengikut perjanjian, tiada masalah timbul dengan pewaris.

BACA: Tiada persetujuan menimbang tara dalam pertikaian Malaysia dengan waris Sultan Sulu - Tommy Thomas

BACA: Polis Sabah pandang serius dakwaan waris Sulu rekrut rakyat di Lahad Datu


“Tuntutan oleh pewaris Sultan Sulu dibuat semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Kerajaan BN tidak bertindak untuk menolak jurisdiction (kuasa undangan) mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang telah dihentikan.

“Tidak ada bukti bahawa tindakan Najib telah dipersetujui oleh Peguam Negara pada masa itu atau Kabinet. Najib bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran,” katanya.

Dalam isu jawatan Peguam Negara melibatkan Apandi pula, Dr Mahathir menjelaskan pemecatannya kerana beliau memutuskan Najib tidak membuat apa-apa kesalahan berkenaan pengurusan 1MDB, sedangkan seluruh dunia ketahuinya.

[TERKINI] Semakan undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah

“Semua ini menunjukkan bahawa Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilaku oleh Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Perbuatan Apandi menunjukkan bahawa ia tidak memegang kepada “Rule of Law”. Ia tidak sesuai menjadi Peguam Negara.

“Memangpun kerajaan berhak untuk menamat pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah. Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan dari jawatannya,” tulis beliau lagi.

Isu terakhir pula, melibatkan kekayaan anaknya, bekas Perdana Menteri itu meminta Apandi memberi bukti yang anak-anaknya menjadi jutawan semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

BACA: Kes saman Mohamed Apandi terhadap Dr Mahathir dan kerajaan akan diteruskan

“Sebenarnya anak-anak saya tidak pun dibenar berniaga dengan Kerajaan atau menyertai parti kerajaan.

“Jika ada anak yang jadi jutawan sila beri bukti akan tarikh gelaran ini diberi kepada mereka, serta bukti kejutaan mereka.

“Jika tidak ada bukti saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang,” katanya.