Tun Dr Mahathir Mohamad, yang genap usia 94 tahun hari ini, menyifatkan ibu beliau, Allahyarham Wan Tempawan Wan Hanapi, sebagai individu paling berpengaruh dalam hidupnya.

“Beliau membesarkan saya, beliau mendidik saya tentang budi pekerti, tentang perkara yang seharusnya saya lakukan,” kata Perdana Menteri kepada Bernama Radio dalam wawancara khas bersempena ulang tahun itu.

Ditanya rahsia beliau yang begitu bersemangat dan bertenaga, Dr Mahathir berkata, beliau kini bersederhana dalam melakukan pelbagai perkara, termasuk makan minum selain sentiasa aktif.

“Saya jaga berat badan supaya jangan keterlaluan dan ini bermakna saya berhati-hati bila makan dan saya berpendapat kalau kita tidak aktif dalam kehidupan, kita akan jadi lemah sama ada tubuh badan atau akal fikiran. Bila aktif, barulah semuanya berfungsi dengan baik,” katanya.




Jika ada kelapangan, Dr Mahathir berkata beliau suka membaca dan menulis serta melakukan sedikit sebanyak senaman.

Mengimbau kembali ke zaman remajanya, Dr Mahathir berkata, dunia begitu mudah ketika itu kerana hidup beliau semata-mata berkisar tentang sekolah, tempat tinggal dan bandar Alor Setar semasa beliau meniti usia dewasa di kawasan kejiranan yang dihuni pelbagai kaum.

Masih terpahat dalam ingatan beliau, selain sebuah kedai yang menjual bahan pembuatan songket dan barangan gangsa, tiada kedai lain yang dikendalikan oleh orang Melayu ketika itu.

“Saya nak bangga dengan pencapaian orang Melayu tapi saya nampak tak ada sesuatu yang saya boleh bangga dengan kedudukan mereka di zaman British,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menganggapkan kegagalan terbesar beliau adalah kegagalannya untuk mengubah tabiat orang Melayu dan sistem nilai mereka.

Dr Mahathir memberitahu Bernama Radio, beliau berusaha untuk mengubah orang Melayu supaya mereka lebih serasi dengan kemajuan, bagaimanapun sebahagian besar daripadanya memilih untuk kekal dengan cara mereka sendiri.

Ditanya tentang pemimpin dunia yang beliau jadikan sebagai contoh, Dr Mahathir menamakan Nelson Mandela yang berjuang menentang Apartheid di Afrika Selatan, selain menyatakan beliau juga mengagumi Czar Rusia Peter the Great.

“Sebab dia dapat tukar negara Rusia daripada negara yang tidak tersusun supaya menjadi negara yang mampu jadi kuasa dunia,” katanya.

Mengulas tentang kriteria yang perlu dimiliki seorang pemimpin, Dr Mahathir berkata, individu itu perlu tahu tentang keadaan dalam negara selain perkembangan serantau dan di seluruh dunia.

“Kita tidak boleh asingkan diri kita seolah-olah hidup tunggal (bersendirian), tidak ada kaitan dengan jiran dan negara-negara lain di dunia,” katanya.

Kepada soalan yang agak santai, Dr Mahathir berkata penyanyi tempatan yang beliau minati ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, menggemari kopi berbanding teh dan memilih Jepun sebagai antara negara yang beliau paling suka kunjungi. - BERNAMA