KUALA LUMPUR:Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap agar pakar kesihatan dapat mencari jalan dan amalan terbaik untuk mengurangkan jumlah jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Berkongsi pengalaman di dalam entri terbaharunya di blog beliau chedet.cc, Dr Mahathir turut mendedahkan salah seorang daripada ahli keluarganya didapati positif COVID-19.

Bagaimanapun, pesakit terbabit katanya tidak dapat dimasukkan ke hospital kerana keadaannya yang tidak teruk, sebaliknya hanya diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

"Tetapi semasa di rumah keadaannya menjadi teruk sehingga tidak dapat bernafas. Maka dia pun dimasuk ke hospital. Masalahnya, semasa dia berada di rumah, penyakitnya dijangkit kepada ahli (keluarga) di rumah.

"Saya percaya ia tidak dapat dimasuk hospital awal kerana jumlah yang dijangkiti terlalu ramai. Tiap hari 4,000 (kes) dikesan. Namun demikian, jika pesakit berada di rumah, ahli keluarga akan dijangkiti. Maka lebih ramailah yang terjangkit," jelas Dr Mahathir.

Justeru ujarnya, pesakit yang telah dijangkiti COVID-19 sepatutnya di kuarantin berasingan dari keluarga dan dibenarkan pulang selepas sembuh.

BACA: COVID-19: Tun Mahathir cadang tubuh panel dianggotai pakar perubatan, bantu tangani pandemik

Bagaimanapun, tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, pusat kuarantin yang sedia ada ketika ini juga perlu diurus dengan baik bagi mengurangkan jangkitan berlaku.

"Sudah tentu tempat kuarantin hendaklah sesuai. Dari gambar yang diperolehi katil-katil terlalu dekat dan apabila ada lawatan pembesar pesakit akan berkumpul. Ini akan menyebabkan jangkitan merebak.

"Sesungguhnya ada banyak cara dan amalan yang boleh kurangkan jumlah jangkitan. Diharap doktor-doktor pakar dapat berbincang dengan pegawai Kerajaan," katanya lagi.

Tambah Dr Mahathir, khidmat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah amat dihargai namun peperangan menentang wabak itu ujarnya lagi, terlalu besar untuk hanya ditangani oleh beliau seorang sahaja.