Skip to main content

Malaysia

Tun Mahathir ziarahi pusara Tun Siti Hasmah, momen pilu undang sebak rakyat

Kesedihan terpancar pada wajar Tun Dr Mahathir semasa bekas Perdana Menteri itu menziarahi pusara isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Pusara Negara, Putrajaya, hari ini.
Kesedihan terpancar pada wajar Tun Dr Mahathir semasa bekas Perdana Menteri itu menziarahi pusara isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Pusara Negara, Putrajaya, hari ini.

Advertisement

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menziarahi pusara isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Taman Selatan, Presint 20, di sini, dalam suasana penuh pilu yang menyentuh hati rakyat Malaysia.

Menerusi video siaran langsung Sinar Harian, kenderaan yang membawa Dr Mahathir dilihat tiba di lokasi sekitar jam 11 pagi dari Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Negarawan berusia 101 tahun itu kemudiannya menuju ke pusara Allahyarham dengan ditemani ahli keluarga, manakala orang ramai turut hadir bagi menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh wanita berkenaan.

Kelibat Dr Mahathir yang berdiri di sisi pusara insan yang menjadi teman hidupnya selama lebih tujuh dekad mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia.

Wajah yang kelihatan tenang namun sarat dengan kesedihan itu hadir ketika negara masih meratapi pemergian Dr Siti Hasmah pada Isnin lalu pada usia 100 tahun.

Allahyarham Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di IJN dan diberikan penghormatan pengebumian bertaraf Pembesar Negara sebagai mengenang jasa serta sumbangan besar beliau kepada negara selama lebih separuh abad.

 

@bernamaofficial #Putrajaya: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini hadir menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Pusara Negara pada 11.05 pagi, empat hari selepas pemergian isterinya itu. Kehadiran Tun Dr Mahathir yang turut ditemani anggota keluarga, mencuri perhatian orang ramai yang berada di kawasan Pusara Negara untuk menziarahi Allahyarham. Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit di pusara Allahyarham sebelum beredar, dalam suasana tenang yang turut menyaksikan orang ramai memberikan ruang dan penghormatan kepada beliau. 📹 videoBERNAMA #BernamaNews #VideoBernama #TunMahathir #AllahyarhamTunSitiHasmah ♬ original sound - bernamaofficial

 

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, hubungan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bukan sekadar kisah suami isteri, tetapi lambang kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan yang merentasi zaman.

Sepanjang lebih 70 tahun perkahwinan mereka, Dr Siti Hasmah bukan sahaja menjadi pendamping setia, malah sumber kekuatan kepada Dr Mahathir ketika mengharungi pelbagai cabaran dalam kehidupan dan kerjaya politik.

Menerusi hantaran dan reaksi di media sosial, ramai rakyat Malaysia menitipkan doa agar Dr Mahathir terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik dalam menghadapi kehilangan tersebut.

Must Watch Video

Advertisement