Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada seorang kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh, Ismail Shansuddin, 35, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, yang sudah berkahwin, didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa berusia lapan tahun lima bulan dengan cara menunjukkan kemaluan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan Tanah Perkuburan Islam Jelai 2 (F), Gemas, Tampin, pada jam kira-kira 7 malam, 10 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah Abdullah, tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberikan jaminan yang rendah kerana hanya mempunyai pendapatan RM1,000 sebulan selain perlu menyara isteri dan ibu bapa.

Mahkamah memutuskan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Mac depan.

Selain itu, tertuduh juga perlu melapor diri di Balai Polis Tampin setiap 15 hari bulan setiap bulan selain tidak dibenarkan berhubung atau berkomunikasi dengan mangsa serta keluarganya.

-- BERNAMA