JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan dilantik sebagai Pemangku Sultan dalam Majlis Istiadat Pelantikan Pemangku Sultan di Istana Bukit Serene di sini esok.

Istiadat yang bakal berlangsung pada 10 pagi di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene itu akan berlangsung di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan disaksikan oleh paduka anakanda lain.

Turut dijangka hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Pelantikan itu dibuat susulan keberangkatan Sultan Ibrahim yang akan bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur mulai 31 Jan ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.

Tunku Ismail, 39, yang diputerakan pada 30 Jun 1984 di sini, merupakan putera sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah daripada enam paduka anakanda.

Sebelum pelantikan itu, baginda yang meminati sukan polo dan bola sepak telah beberapa kali diamanahkan menjadi Pemangku Raja dengan kali terakhir pada 16 Jun 2022 ketika Sultan Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas serta mentadbir Johor.

Tunku Ismail, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sejak 16 Feb 2012, telah mendirikan rumah tangga dengan Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor pada 24 Okt 2014.

Pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua putera dan dua puteri iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.

-- BERNAMA