KUALA LUMPUR: Tuntutan cukai tambahan terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak menyebabkan kos tersebut dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tarif elektrik, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu memaklumkan tarif elektrik di Semenanjung ditentukan melalui kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan tertakluk kepada penelitian serta kelulusan kerajaan.
“Liabiliti cukai korporat TNB bukan merupakan kos yang secara automatik boleh dipindahkan kepada pengguna melalui tarif elektrik,” menurut MOF.
Kementerian itu menyatakan demikian melalui jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai implikasi tuntutan cukai tambahan terhadap dividen pemegang saham dan tarif elektrik.
Menurut MOF, tuntutan tersebut juga tidak menjejaskan keupayaan TNB untuk terus membuat pembayaran dividen, yang mengambil kira prestasi kewangan, kedudukan tunai dan dasar dividen syarikat.
“Kerajaan akan terus memastikan kepentingan pengguna dilindungi melalui mekanisme kawal selia tarif sedia ada, tanpa menjejaskan keupayaan TNB untuk menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap,” katanya.
-- BERNAMA