Kejatuhan harga minyak dunia ketika ini telah menyebabkan tuntutan kenaikan royalti minyak kepada negeri Sarawak tidak sesuai dipertimbangkan buat masa sekarang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pusat telah membuktikan komitmen kepada Sarawak dengan membina Lebuh Raya Pan Boneo serta meluluskan RM3.5 bilion bagi pembangunan sepanjang lawatannya ke negeri itu.

"Tentang royalti minyak, kita bersetuju bahawa pada masa ini tidak sesuai untuk diberi apa-apa pertimbangan sebab keadaan hasil negara begitu kritikal sekarang ini sebab kita telah kehilangan hampir RM40 bilion dengan kejatuhan harga minyak.

"Namun, kita akan cuba untuk menampung keperluan pembangunan termasuk untuk Sarawak dan kita telah dapat menambahkan peruntukan misalnya, peruntukan di luar bajet banyak diluluskan untuk Sarawak.

"Lawatan saya dan Timbalan Perdana Menteri setakat ini RM3.5 bilion telah pun diluluskan dan tambah lagi sehari dua ini, banyak juta kita curahkan untuk pembangunan di Sarawak," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

BACA: Kerajaan nafi GST akan naik jika menang PRN Sarawak

Pada masa ini, Sarawak menerima lima peratus royalti daripada hasil minyak negeri itu daripada pusat.

40 calon PKR dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 hari ini sepakat membuat lima tuntutan kepada Najib termasuk menuntut Sarawak diberikan hak 20 peratus royalti minyak.

Sementara itu, Najib menggesa supaya semua menteri Kabinet termasuk calon BN untuk mengotakan janji mereka yang diikrarkan.

Kata Najib, kerajaan akan memantau janji calon BN dan berharap ia akan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Saya ingatkan semua Kerusi (Adun) bahawa janji-janji mereka luahkan di negeri Sarawak hendaklah dikotakan dengan perbuatan.

“Kerajaan akan pantau semua janji-janji semua yang dibuat, mudah-mudahan kesemua dapat disempurnakan mengikut jadual yang ditentukan,” katanya.

Proses pengundian PRN Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini.