Tuntutan palsu: Bekas timbalan pengarah ditahan SPRM

Tuntutan resit palsu berhubung pelaksanaan program-program agensi kerajaan telah dikemukakan suspek sekitar Julai 2013 sehingga Ogos 2014.

Suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM. - Gambar fail | Astro Awani
Bekas timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM14,000 pada Rabu.

Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurut sumber, wanita berusia 40 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Sabah sekitar jam 10 pagi selepas hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati, tuntutan resit palsu berhubung pelaksanaan program-program agensi kerajaan telah dikemukakan suspek sekitar Julai 2013 sehingga Ogos 2014.

Suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.