KUALA LUMPUR: Kesungguhan politik perlu menjadi keutamaan dalam memastikan perang melawan COVID-19 dapat dijayakan.

Peguam Adzly Ab Manas berkata, peruntukan undang-undang sedia ada adalah mencukupi untuk memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, jelas beliau, ia bergantung kepada kesungguhan politik sesebuah kerajaan negeri itu untuk melaksanakannya.

BACA: Menjawab persoalan 'tutup kilang': Kerajaan Persekutuan atau Negeri?

"Dalam kata lain, perkara ini tak perlu diserahkan kepada kerajaan Persekutuan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) semata-mata kerana kerajaan Selangor, mempunyai kuasa.

"Tindakan mereka (kerajaan Selangor) melakukan saringan COVID-19 percuma secara besar-besaran kepada masyarakat, adakah ini satu langkah yang baik untuk bantu kerajaan Persekutuan tangani perkara ini?

"Jikalau mereka mempunyai kesungguhan politik dalam melakukan perkara ini, maka Akta Kerajaan Tempatan memberi ruang kepada mereka melakukan atau melaksanakan bantuan untuk memastikan wabak di Selangor ini menurun," ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu. 

BACA: PBT tiada kuasa batal, tamat, tarik lesen kilang di Selangor - Exco

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan supaya pihak kerajaan dan pembangkang terutama di Selangor meluluskan sebarang undang-undang kecil yang akan memberi kuasa lebih besar kepada PBT semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

"Di dalam sidang DUN tersebut, satu deklarasi hendaklah dibuat bersama-sama di antara pihak pembangkang dan kerajaan, saling berganding bahu untuk menangani isu wabak COVID-19 yang sangat teruk melanda negara kita," katanya.

BACA: Sultan Selangor mahu pemberian vaksin bagi pekerja kilang dipercepat

Sebelum ini wujud pelbagai percanggahan idea berkenaan kuasa PBT di Selangor untuk menutup premis perniagaan atau kilang-kilang yang wujud kemungkinan berlakunya penularan COVID-19.

Perkara 73 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) memberi kuasa kepada sesuatu pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa membuat, meminda atau membatalkan undang-undang kecil untuk menjalankan peruntukan akta itu dengan cara lebih baik termasuk untuk memelihara kesihatan awam.


COVID-19 | PBT tiada kuasa tutup kilang di Selangor