KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 11 laporan polis daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah menerusi pendedahan pengguna akaun Twitter sebagai @edisi_siasatmy.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata PDRM akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes ini, termasuklah kenyataan-kenyataan daripada individu yang menafikan dakwaan pengendali media sosial itu.

Beliau berkata PDRM akan menyiasat kedua-dua pihak melibatkan pengadu dan pengguna Twitter itu yang boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

"Bagaimanapun, mengenai dakwaan individu tertentu yang terlibat rasuah ia adalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat perkara itu," katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai pengendali Twitter berkenaan, Mohd Kamarudin berkata PDRM akan memanggil individu itu untuk diambil keterangan dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, PDRM masih sedang dalam proses mengenal pasti individu di sebalik akaun Twitter berkenaan.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai pendedahan pemilik akaun Twitter berkenaan yang mendakwa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat masalah salah laku, di samping turut mendakwa pengurusan tertinggi sebuah badan pencegahan rasuah melindungi sindiket jenayah serta terlibat dengan rasuah.

-- BERNAMA