Teka-teki siapa Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal terjawab pada Isnin dalam satu pengumuman sebelum Istiadat Mengangkat Sumpah di Seri Negeri dijalankan.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh perkara itu dimaklumkan kepadanya selepas pertemuan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional bersama Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob pada petang Jumaat.

"13 ADUN daripada BN bersama dua ADUN gabungan negeri Melaka dipanggil mengHadap Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob bagi membincangkan situasi terkini negeri Melaka.

"Perbincangan dengan Tun Mohd Khalil lebih terjurus ke arah kesejahteraan negeri Melaka khususnya kestabilan politik Melaka," katanya.

Malah jelas Ab Rauf, Tun Mohd Khalil telah bersetuju untuk mengangkat salah seorang daripada 15 Adun Perikatan Nasional sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.

"Saya bagi pihak ADUN, merakamkan ribuan terima kasih Tuan Yang Terutama Tun atas kebijaksanaan menangani kemelut politik pentadbiran negeri Melaka.

"Dimaklumkan kepada kami calon Ketua Menteri Melaka ke-12 akan diumumkan pada jam 3.00 petang sebelum Majlis Angkat Sumpah pada 9 Mac (Isnin) yang datangnya dalam kalangan wakil-wakil rakyat 15 Adun yang akan menjadi Ketua Menteri Melaka," jelas Ab Rauf dalam satu sidang media khas di Ayer Keroh pada Jumaat.

Ia sekali gus menghentikan khabar angin kononnya berlaku perebutan kerusi Ketua Menteri Melaka antara Bersatu dan UMNO di negeri itu.

Perikatan Nasional Melaka sebelum ini mengumumkan kerjasama gabungan itu dengan dua ADUN Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Noor Effandi Ahmad dihentikan serta merta pada 5 Mac lalu.

Ia memaksa gabungan Perikatan Nasional mengemukakan perakuan bersumpah (SD) yang baharu oleh 15 Adun kepada Tun Mohd Khalil pada Khamis.