Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap anggota polis menerusi panggilan telefon pada tahun lalu.

Omar Abdul Latif, 41, membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Moahmmed Redza pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat menakutkan Lans Koperal Govindan Chelvakumar di perkarangan Balai Polis Hulu Bernam, Hulu Selangor, pada jam 10.46 malam, 21 Julai tahun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mohamad Amin mencadangkan Hakim mengenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, tertuduh memohon agar wang jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai beberapa tanggungan selain mahu mendapatkan khidmat peguam bagi mengendalikan kesnya.

Nurul Mardhiah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes selain serahan dokumen dan pelantikan peguam.