GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta memperkenalkan kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh bagi sektor pendidikan tinggi negara.
Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Seri Dr Osman Bakar berkata, langkah itu membuka ruang penting untuk memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi ilmu dan pembelajaran, selain memberi peluang lebih luas kepada mahasiswa untuk membangunkan pemikiran matang, kepimpinan serta penglibatan konstruktif dalam masyarakat.
Menurut beliau, kebebasan yang lebih luas diberi kepada institusi pendidikan tinggi dan mahasiswa perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab serta integriti.
“Mahasiswa wajar diberikan ruang untuk menilai dan membahaskan isu-isu semasa secara kritis, berasaskan ilmu dan kebijaksanaan, serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata aspirasi tersebut selaras dengan komitmen UIAM terhadap Epistemologi Tauhid (Tawhidic Epistemology) yang menekankan kefahaman ilmu secara bersepadu berteraskan kesatuan antara kebenaran, nilai dan tanggungjawab insan.
Katanya, ia juga sejajar dengan gagasan Kecemerlangan Ummah (Ummatic Excellence) yang menjadi asas pendidikan universiti itu dalam melahirkan graduan yang cemerlang dari sudut intelektual, berakhlak dan berupaya menyumbang kepada masyarakat.
Dalam pada itu, UIAM berpandangan kerangka perundangan baharu yang bakal diperkenalkan perlu turut memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik serta tadbir urus universiti yang baik.
Menurut Osman, aspek akauntabiliti juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab institusi.
Beliau menegaskan proses penggubalan undang-undang baharu itu perlu melibatkan pandangan universiti, ahli akademik, mahasiswa serta pelbagai pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
“UIAM berharap reformasi ini akan terus memperkukuh universiti-universiti di Malaysia sebagai wadah pencarian ilmu dan kebenaran.
“Pada masa yang sama, ia dapat membentuk generasi masa hadapan yang berfikiran terbuka, bertanggungjawab dan berwawasan serta komited menyumbang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
Cadangan pemansuhan AUKU diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR kali ke-19 pada Sabtu, sebagai sebahagian daripada usaha reformasi pendidikan tinggi negara bagi memperluaskan ruang kebebasan akademik dan pemerkasaan mahasiswa.