Polis mengesahkan mayat yang dijumpai di dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya, Khamis lalu adalah milik mendiang Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Anthony Kevin Morais.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata pengesahan itu dibuat setelah ujian DNA terhadap mayat berkenaan positif dengan sampel DNA waris yang dihantar untuk analisis.

Bagaimanapun tambah Zainuddin, pihak patologi masih lagi menjalankan ujian bagi mengesahkan punca kematian Kevin.

Dalam pada itu pasukan mencari masih lagi belum menemui bahan bukti dipercayai dibuang suspek dari jambatan Kuala Selangor.

Usaha pencarian itu membabitkan beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Pasukan penyelam turut mencari di bawah jambatan iaitu lokasi dipercayai menjadi tempat suspek membuang bahan bukti.

Suspek dipercayai membuang objek tumpul yang digunakan untuk membunuh Kevin dan telefon bimbit milik mangsa ke dalam Sungai di Kuala Selangor.