BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sebanyak 4,379 pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027 yang mula mendaftar pada 19 Sept lepas.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,889 atau 66 peratus merupakan pelajar perempuan, manakala 1,490 atau 34 peratus pelajar lelaki, iaitu kesemua mereka dipilih daripada 86,504 permohonan yang diterima UKM pada tahun ini.
Naib Canselor Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh berkata pelajar baharu itu ialah Generasi 57 atau Gen 57 UKM yang bakal meneruskan legasi universiti dan membawa nama baik UKM pada masa hadapan.
"Di UKM, kita mempunyai pelan strategik yang dikenali sebagai Tekad 57, dengan hasrat membina generasi yang akan membawa Malaysia menuju usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
"Jika kita lihat anak-anak muda, khususnya mereka yang berusia kira-kira 20 tahun, mereka akan berusia 51 tahun pada 2057. Pada ketika itu, mereka bukan lagi sekadar pewaris, tetapi berpotensi menjadi antara pemimpin utama yang akan mencorakkan hala tuju negara," katanya dalam sidang media pendaftaran pelajar baharu UKM Sesi 2026/2027 di sini hari ini.
Kemasukan 2026/2027 itu juga menyaksikan 115 pelajar antarabangsa daripada beberapa negara antaranya Indonesia, China, Singapura, Vietnam, Turkiye, India, dan Iran turut mendaftar sebagai pelajar baharu UKM.
Turut menerima tawaran ialah 14 pelajar Orang Kurang Upaya, tujuh pelajar Orang Asli dan lapan pasangan kembar, manakala sebanyak 57.42 peratus atau 2,600 pelajar terdiri daripada keluarga B40.
Sufian berkata sebagai usaha membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, sebanyak 29 pelajar diberikan penangguhan bayaran yuran pendaftaran sementara menunggu kelulusan pembiayaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), biasiswa swasta, bantuan zakat dan asnaf.
"UKM turut menerima sumbangan 15 komputer riba daripada Maxis, 20 komputer riba daripada KPMG dan 10 komputer tablet daripada alumni untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.
"Selain itu, sebanyak 4,000 naskhah al-Quran Mufiq UKM turut disumbangkan untuk kegunaan pelajar. Melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM), sebanyak 59 pelajar menerima bantuan sara hidup berjumlah RM1,000 setiap seorang, 38 pelajar menerima bantuan yuran pengajian berjumlah RM25,080, manakala tujuh pelajar menerima bantuan komputer riba bernilai RM17,500," katanya.
UKM juga menyediakan sembilan kolej kediaman yang melibatkan 15 blok, manakala kerja baik pulih kolej kediaman telah dilaksanakan dengan kos RM19.07 juta, sekali gus meningkatkan kapasiti penginapan sebanyak 1,634 tempat.
Sufian turut mengumumkan mengenai Biasiswa Naib Canselor merangkumi tajaan yuran pengajian, bantuan sara hidup sebanyak RM800 sebulan dan elaun penginapan RM720 setahun sepanjang tempoh pengajian.
Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM234,980, biasiswa itu diberikan kepada tiga pelajar perempuan yang cemerlang dalam akademik dan berasal daripada keluarga B40.
Mereka ialah Wan Nur Mahirah Wan Harun (Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan) yang memperoleh 5A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025, Saw Xin En (Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Fakulti Undang-Undang) yang memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM dan merupakan seorang OKU penglihatan.
Penerima ketiga ialah Nur Natasha Amirah Mohd Helmi, pelajar Sarjana Muda Sains Sosial Kriminologi dengan Kepujian dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang memperoleh PNGK 3.33 di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan.
-- BERNAMA