Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universitas U'budiyah Indonesia (UUI), Banda Aceh, melibatkan beberapa aktviti termasuk pengajaran dan penyelidikan.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latiff berkata tujuan MoU berkenaan sebagai usaha meningkatkan lagi jaringan akademik dan pengantarabangsaan UniSZA di peringkat global, selain dapat mempromosi program UniSZA kepada warga UUI.

Beliau dalam kenyataan di sini hari ini, berkata MoU tersebut telah ditandatangani olehnya semalam selaku Naib Canselor UniSZA, manakala pihak UUI diwakili Rektornya, Prof Marniati M Kes.

UniSZA adalah Universiti Awam (UA) ketujuh di Malaysia menjalankan kerjasama dengan UUI.

Sebelum ini UUI menjalin kerjasama dengan enam UA iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

"UUI sebuah universiti yang cukup hebat di Banda Aceh, Indonesia. Semoga MoU ini akan memberi banyak impak positif untuk kedua-dua warga universiti dan komuniti setempat khususnya masyarakat Islam di Malaysia dan Indonesia," katanya.

-- BERNAMA