Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, universiti perlu bersifat peka dengan mengamati, memahami dan memperbetulkan sebarang kepincangan sosial yang sedang melanda masyarakat.

Titah baginda, penyakit sosial dalam masyarakat perlu ditangani melalui kebijaksanaan mengimbangi sifat individualisme dan persaingan dengan nilai semangat kerjasama serta tanggungjawab kemasyarakatan.

"Untuk menangani penyakit sosial, negara memerlukan warga yang memiliki nilai-nilai moral dan warga yang mengamalkan tanggungjawab sivik yang tinggi.

"Ketika merangka dan melaksanakan program membangunkan sumber manusia, universiti jangan sama sekali melupakan falsafah asas pendidikan yang kudus lagi suci," titah baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) semasa Istiadat Konvokesyen UM ke-55 di sini, hari ini.

Ketempangan akhlak dan kelompangan spiritual dilihat semakin berleluasa di kalangan mereka yang terpelajar dan menyandang jawatan penting.

"Rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, pilih kasih, penipuan, dilaporkan semakin berlaku disebabkan akhlak semakin berada pada tahap rendah atau tidak dijiwai lagi.

"Perlumbaan keduniaan, telah mengalpakan manusia hingga manusia menjadi terlalu materialistik. Fenomena ini amat membimbangkan," titah baginda.

Justeru, graduan disaran melengkapkan diri dengan dengan akhlak mulia, bagi mengelak menjadi hamba kepada kehendak nafsu, sehingga sedia menggadaikan maruah diri.

"Impian untuk mencapai kejayaan hidup, jangan sampai ke peringkat menghalalkan apa sahaja tindakan. Matlamat jangan sekali-kali diizinkan untuk menghalalkan cara.

"Berpegang teguhlah pada nilai agama yang suci dan nilai budaya bangsa yang murni. Hidup bersendikan adat, adat bersandarkan Kitabullah," baginda bertitah.

Ia berikutan kemajuan sesebuah negara, bergantung kepada penemuan baru, sumber manusia terlatih dan kepakaran pengetahuan.

"Universiti berperanan sebagai sumber, membekalkan ketiga-tiga elemen tersebut. Universiti moden, pada era pasca industri, ialah institusi pusat dan instrumen utama menentukan tahap pencapaian kemajuan sesebuah masyarakat," titah Sultan Nazrin Shah.