KUALA LUMPUR: Pihak universiti perlu melaksanakan proses tapisan terhadap program yang bakal dijalankan namun tidaklah sehingga mengganggu autonomi dan ruang keterbukaan sesebuah universiti itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran dan Sunnah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berpandangan ia perlu dilaksana bagi mengelakkan kontroversi khususnya membabitkan isu sensitif serta polisi negara.

"Bagi saya, semua universiti mempunyai autonomi dan kita perlu hormati kuasa mereka khususnya dengan perkara yang berkaitan akademik... bukanlah perlu kepada tapisan berat tetapi tapisan yang mencukupi untuk mengelakkan kontroversi yang tidak diperlukan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Pada Rabu, seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat terutama berkaitan perjuangan Malaysia membela nasib rakyat Palestin dalam sebuah program anjuran Universiti Malaya (UM).

Susulan insiden itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengarahkan UM untuk membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah terbabit dan pihak universiti juga diminta menyiasat perkara tersebut serta melaporkan segera butiran lanjut mengenainya.

Abu Hafiz berkata pihak universiti sepatutnya bertindak tegas apabila penceramah itu mengeluarkan kenyataan yang menyindir dan mengkritik pendirian Kerajaan Malaysia secara langsung atau tidak langsung semasa program dijalankan.

"Bagi saya, di peringkat universiti patut bertegas ketika itu minta beliau supaya tidak meneruskan ucapan bahkan menghentikan ucapan dan mengiringi beliau keluar dari dewan. Pihak penganjur kena tahu kesan ini bukan sahaja kepada penceramah malah kepada universiti dan KPT.

"Ini adalah satu pengajaran besar apabila melibatkan perkara yang sangat sensitif seperti mengundang mereka yang ada latar belakang pro-Zionis untuk tidak mengulanginya. Ia pengajaran dan jangan lagi berulang bagi mana-mana universiti di Malaysia," katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula tidak bersetuju dengan tindakan penceramah itu yang disifatkan beliau sebagai mampu memesongkan pemikiran ahli akademik serta pelajar di negara ini dengan hujah berat sebelah.

"Malaysia mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Amerika Syarikat dan sebarang perbuatan atau perkara yang boleh memesongkan pendirian ataupun pemahaman masyarakat termasuk pelajar dan golongan tertentu dalam Malaysia harus dinilai dengan teliti.

"Sebagai ahli akademik, beliau seharusnya lebih berhati-hati apabila ingin mengemukakan hujah dan sebarang percambahan pemikiran harus berasaskan pemodenan dan ketatasusilaan dalam acuan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara," katanya.

Malah Noor Nirwandy berkata kenyataan penceramah itu bahawa Malaysia mahukan holokus kedua tidak boleh diterima dan adalah penghinaan kepada kesarjanaan falsafah ketamadunan serta keilmuan bagi sarjana-sarjana di Malaysia.

Justeru, beliau mencadangkan agar korpus keilmuan dalam konteks isu-isu berkepentingan negara dalam kerangka pemikiran, peradaban dan ketamadunan di Malaysia dapat dibangunkan segera.

"Ini kerana jelas wujudnya satu keadaan iaitu para ilmuan di luar negara cuba mewujudkan satu pemahaman salah tentang pendirian Malaysia yang jelas menyokong isu-isu berkepentingan keamanan sehingga boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Korpus keilmuan ini perlu menumpukan kepada usaha Malaysia sebagai sebuah negara aman yang berdaulat dan sejahtera, sentiasa bersedia untuk mengecam tindakan-tindakan kezaliman yang berlaku di seluruh dunia," katanya.

-- BERNAMA