Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan universiti tidak boleh menyekat sebarang aktiviti berbentuk intelektual di universiti masing-masing.

Beliau berkata ini kerana universiti merupakan ruang intelektual terbuka.

"Saya berasa pelik apabila mengetahui halangan terhadap aktivis sosial Hishamuddin Rais daripada meneruskan program yang berlangsung pada 8.30 malam semalam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Saya tak fikir ini (program) adalah isu besar. Mana-mana universiti janganlah sekat atau halang sebarang program berbentuk intelektual," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Hishamuddin bahawa UKM telah membatalkan program kuliahnya bertajuk 'Reformasi Struktural: Mahathir dan Anwar Lagi' di universiti berkenaan.

Pentadbiran universiti memaklumkan tiada rekod mengenai penganjuran program tersebut.

-- BERNAMA