MALAYSIA
Upacara Miring buka panggung persembahan RWMF 2025

Pentas utama RWMF 2025 bakal menampilkan persembahan daripada pemuzik tempatan dan antarabangsa. - Gambar Astro AWANI
KUCHING: Persembahan upacara Miring membuka pentas persembahan Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025 di Kampung Budaya Sarawak (SCV), pada Jumaat.
Sejurus selepas itu, tentatif persembahan diteruskan dengan slot Magic Hour Performance menampilkan Mathew Ngau with Lan E Tuyang.
Suasana kemeriahan acara muzik dan kebudayaan itu seterusnya dimeriahkan dengan persembahan Drum Circle yang menampilkan pemuzik tempatan yang disertai Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD) Tentera Darat Malaysia (TDM).
Mereka mempersembahkan beberapa lagu, antaranya The Final Countdown, Under Double Eagle, Quizas, Berkikis Bulu Betis dan Joget Toleh Menoleh.Menurut Pegawai Waran Dua, Madzli Ibnu, pihaknya teruja selepas menerima undangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board (STB), Sharzede Salleh Askor untuk sama-sama tampil membuat persembahan di RWMF.
“Walaupun kami tidak mempunyai masa yang panjang untuk melakukan persiapan, namun segalanya berjalan lancar sebentar tadi.
“Dengan pengalaman melakukan beberapa persembahan sebelum ini, ia sedikit sebanyak membantu menjayakan persembahan kali ini,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Untuk malam pertama, orang ramai berpeluang menikmati beberapa persembahan hebat daripada pemuzik tempatan dan antarabangsa.
Antara yang bakal tampil termasuk Paradise Bangkok Molam International dari Thailand, Gaga Gundul (Perancis dan Indonesia), Seffarina (Maghribi, Cuba, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Iran) serta Otylen (Rusia).
Selain itu, beberapa pemuzik tempatan juga bakal tampil memeriahkan acara hari pertama termasuk Naungan dan Meruked.
Menerusi edisi penganjurannya tahun lalu, RWMF berjaya merekodkan kehadiran terbesar sepanjang penganjurannya.
RWMF 2024 berjaya merekodkan kehadiran lebih 26,000 pengunjung, seterusnya mengatasi jumlah tertinggi pada 2019 dengan 23,000 orang.
Tiket RWMF 2025 boleh didapati secara dalam talian di laman rasmi RWMF dan di ticket2u.com.my/rainforest dengan pelbagai pakej termasuk pas harian dan tiket untuk tiga hari.
RWMF mula dianjurkan pada 1998 dan sejak itu terus berkembang menjadi antara festival muzik dunia yang paling dinanti-nantikan di rantau Asia Pasifik dan menarik ribuan pengunjung setiap tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami