PUTRAJAYA: Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) untuk mata pelajaran Sirah yang ditangguhkan hari ini, diputuskan untuk dilaksanakan pada 24 Jan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Ia susulan keluhan dan aduan yang diterima berikutan kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terdahulu hari ini, yang menetapkan penjadualan semula kertas Sirah itu pada 23 Jan, katanya.

"Susulan keputusan dan kenyataan Jakim tersebut, pihak saya telah menerima banyak aduan dan keluhan daripada ibu bapa calon-calon UPKK yang bimbang akan kemampuan anak-anak mereka melalui dua ujian dalam masa satu hari pada 23 Jan 2024.

"Atas rasa keprihatinan dengan keluhan dan aduan tersebut, serta atas dasar turut memahami emosi calon-calon UPKK, saya telah mengarahkan supaya Jakim menetapkan ujian bagi mata pelajaran Sirah dibuat pada 24 Jan 2024 (Rabu)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jakim dalam kenyataan terdahulu memaklumkan penangguhan kertas Sirah UPKK03/01 ke 23 Jan (Selasa) atas sebab isu teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Mohd Na'im berkata beliau telah dimaklumkan oleh Jakim berhubung satu laporan yang diterima bahawa terdapat sebuah pusat peperiksaan UPKK telah secara tidak sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) pengendalian kertas peperiksaan UPKK.

Berpandukan SOP, katanya pihak Jakim dengan serta-merta telah membuat keputusan segera dan kenyataan media berhubung penangguhan mata pelajaran UPKK03/01 Sirah yang dijadualkan hari ini dan telah menetapkan penjadualan semula ujian bagi mata pelajaran tersebut pada 23 Jan, iaitu bersekali dengan ujian bagi mata pelajaran Lughah al-Quran.

"Semoga dengan keputusan ini dapat meredakan keluh kesah dalam kalangan ibu bapa serta calon-calon UPKK dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap ujian yang sedang berlangsung bermula 16 Jan," kata Mohd Na'im.

-- BERNAMA