UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) meneruskan rentak kecemerlangan di dalam QS World University Asia Rankings 2020. Kedudukan UPM kali ini ialah di tangga 33 berbanding dengan kedudukan 34 pada tahun lepas. Pada kedudukan ini, UPM merupakan universiti kedua terbaik di Malaysia dan sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri apabila UPM berjaya membuat lonjakan secara berterusan bagi tempoh enam tahun secara berturut-turut.

Walaupun terus mencatat peningkatan, sebagai institusi ilmu yang sentiasa mengutamakan kualiti dan kecemerlangan, UPM percaya ada banyak lagi ruang untuk dibuat penambahbaikan agar kecemerlangan ini dapat terus dipertingkatkan. Antara inisiatif yang akan diteruskan ialah, UPM akan terus fokus kepada kualiti penyelidikan dalam bidang tujahan utama di samping meningkatkan reputasi universiti di peringkat lokal dan juga global. Bagi menjayakan agenda ini, UPM akan terus melipatgandakan usaha secara tersusun dan berstruktur melalui penanda aras dalam aspek amalan dan pencapaian kami dengan universiti yang cemerlang di rantau ini dan juga dunia.

Fokus utama akan diberikan kepada inisiatif bagi memantapkan impak penyelidikan melalui kolaborasi strategik dengan pihak industri dan rakan antarabangsa. UPM akan terus memberikan penekanan kepada penyelidikan berimpak tinggi dan penerbitan dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi. Usaha berterusan juga akan dilaksanakan melalui penekanan dalam aspek kuantiti dan kualiti penerbitan penyelidikan, di samping inisiatif penjenamaan dan visibiliti universiti melalui pelbagai platform.

Merujuk kepada pencapaian dalam QS World University Asia Rankings 2020 ini, indikator jaringan penyelidikan antarabangsa dilihat sebagai kekuatan utama UPM apabila menduduki tempat kelapan di Asia. Ini membuktikan kemampuan dan tahap kualiti tinggi pegawai akademik UPM yang telah memberikan impak positif dalam mewujudkan jalinan kerjasama strategik tersebut.

Bertepatan dengan agenda universiti penyelidikan, strategi yang telah dilaksanakan selama ini mula menampakkan impak yang besar dalam segala aspek penyelidikan, ini termasuklah dalam aspek pembangunan modal insan dan visibiliti di peringkat antarabangsa. Universiti juga sentiasa menggalakkan penyelidik untuk mengadakan kolaborasi penyelidikan dengan rakan antarabangsa.

Secara prinsipnya tatkala berhadapan dengan pelbagai cabaran, sokongan penuh yang diperolehi dari pelbagai peringkat staf yang digembleng bersandarkan kepada misi, visi, nilai dan budaya kecemerlangan serta integiriti yang tinggi membolehkan UPM terus merekodkan kejayaan demi kejayaan dalam segala aspek terutamanya penyelidikan dan reputasi antarabangsa.


Prof Dr Azmawani Abd Rahman
Pengarah
Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia