Golongan pengemar berbasikal di Malaysia semakin ramai.

Ia juga selari dengan pembinaan lebih banyak laluan khas berbasikal seperti di Putrajaya dan Shah Alam, selain penganjuran Hari Tanpa Kenderaan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang setiap bulan.

Selain itu kesedaran untuk menjaga alam sekitar, kesihatan diri dan dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan jalan raya juga jadi faktor peningkatan minat masyarakat terhadap aktiviti berbasikal.

Namun cabarannya ialah untuk mewujudkan ekosistem yang sempurna bagi mengalakkan penguna berbasikal bukan sahaja sebagai hobi, malah sebagai gaya hidup.

UPM Sebagai Contoh Terbaik

Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor menjadi kampus pertama yang membina laluan khusus berbasikal, sebagai sebahagian daripada inisiatif kampus “hijau” intitusi pengajian tinggi berkenaan.

Fasa pertama menyaksikan pembinaan laluan khas basikal sepanjang 5 kilometer serta pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan pelajar terhadap bas, motorsikal dan kereta.

UPM juga memperkenalkan rebat RM300 bagi pelajar yang mengunakan basikal di kampus.

Aspek lain yang turut dititikberatkan UPM ialah pengwujudan tempat letak basikal yang selamat dan pam tayar elektrik yang mudah digunakan.

Insititusi itu turut melaksanakan tindakan luar kotak dengan “mendekatkan” asrama dengan fakulti agar pelajar dapat berbasikal ke fakulti tanpa rasa penat.

“Kita aturkan semula pelajar di asrama agar mereka dapat berbasikal atau berjalan kaki ke fakulti bagi membiasakan pelajar berbasikal,” jelas Timbalan Naib Canselor UPM Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran.

“Apabila pelajar dah biasa dengan basikal, kami dapati ada pelajar yang tinggal di kolej yang jauh juga sudah mula berbasikal atas inisiatif sendiri,” tambah Mohammad Shatar.

Pendekatan Psikologi

Selain pemberian insentif, UPM turut melaksanakan langkah untuk “menyukarkan” kenderaan dipandu di kampus, sehingga menyebabkan seluruh warga kampus “terpaksa” beralih kepada basikal.

Keadaan ini terjadi apabila laluan dua hala di seluruh UPM kini terpaksa dijadikan sehala untuk memberi laluan kepada pembinaan laluan basikal.

“Kenderaan kini harus mengelilingi kampus untuk keluar dan masuk,” jelas Mohammad Shatar.

“Staf juga kini sudah terima kenyataan bahawa kampus ini ialah kampus pelajar berbasikal jadi mereka sudah akur untuk memberi ruang,” katanya.

“Pada awalnya kami tidak berani untuk meletakkan sasaran tinggi, hanya sekadar 300 pelajar sahaja untuk menyahut seruan untuk berbasikal di kampus, namun kini seramai 2,500 pelajar sudah berbasikal di kampus,” tambah Mohammad Shatar lagi.

Cuaca Panas Bukan Alasan

Bagi pengemar basikal, Akmal Azfar Abdul Mutalib, mana-mana komuniti boleh mengikuti jejak langkah UPM dalam mewujudkan ekosistem berbasikal di kawasan mereka.
Namun begitu, katanya, sebelum mana-mana pihak terutamanya pihak berkuasa tempatan memulakan inisiatif berbasikal, penting bagi mereka untuk memahami aspek pendidikan, kejuruteraan dan penguatkuasaan dalam bidang basikal terlebih dahulu.

Beliau memberitahu masyarakat terlebih dahulu harus difahamkan dengan kepentingan berbasikal kepada kelestarian alam dan kesihatan diri, sementara aspek kejuruteraan melibatkan prasarana seperti pembinaan laluan khas berbasikal dan tempat letak basikal turut perlu diambil kira.

“Laluan basikal amat penting untuk mewujudkan keyakinan kepada sesiapa sahaja yang baru mula berbasikal,” jelas Akmal.

Beliau menambah, “aspek kejuruteraan pula ada kaitan dengan aspek pendidikan kerana masyarakat perlu tahu tatacara mengunakan laluan basikal, setelah itu, perlunya ada penguatkuasaan supaya pendidikan dan kejuruteraan yang sudah dilaksanakan ada hasilnya.”

Akmal yang mengusahakan kedai basikal “The Basikal” di kampus UPM sejak lima tahun lalu turut percaya lama kelamaan, berbasikal di Malaysia tidak lagi jadi sekadar hobi, malah lebih ramai rakyat negara ini akan berbasikal ke tempat kerja, walaupun cuaca panas sering kali menjadi alasan.

“Kebanyakan pekerja akan ke tempat kerja akan mereka pergi ke kerja pada waktu pagi dan hanya akan pulang sekitar pukul 6.00 petang, sebenarnya dua waktu itu adalah waktu yang sesuai untuk berbasikal," tambahnya sambil berseloroh.