KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal kebangsaan menyasarkan untuk menyambar jersi putih (pelumba terbaik Asia) pada perlumbaan jelajah berbasikal berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, bermula Sabtu ini.

Jurulatih negara, Mohd Yusuf Abdul Nasir, berkata pihaknya mempertaruhkan dua pelumba berpengalaman yang pernah menyarung jersi Sapura Cycling Team iaitu Muhammad Zawawi Azman selaku ketua pasukan serta Muhammad Nur Aiman Rosli untuk mencapai sasaran diletakkan mereka kali ini.

"Zawawi antara pelumba kita sasar (jersi putih) kerana dia pelumba paling senior dalam pasukan dan berpengalaman.

"Muhammad Nur Aiman pada masa sama boleh mendaki. Dia dengan Zawawi tak terlalu jauh pada masa sama dia boleh bagi saingan kompetitif dalam saingan yang tinggi dan lebih penting tidak perlu rasa takut dan berani cuba," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Daripada lapan perlumbaan, beliau optimis kedua-dua pelumba berkenaan mempunyai peluang terbaik untuk memenangi jersi putih dalam dua perlumbaan berbukit iaitu Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km) dan Peringkat 5 Slim River-Genting Highlands (133.3km).

Mohd Yusuf pada masa sama berkata mereka telah menjalani persediaan selama tiga bulan termasuk melakukan latihan di hampir kesemua laluan ditawarkan pada LTdL kali ini.

Selain Muhammad Zawawi dan Muhammad Nur Aiman, beliau berkata skuad negara akan diperkuatkan dengan dua lagi pelumba Sapura Cycling Team iaitu Mohamad Izzat Hilmi dan Muhsin Ali Redha Misbah selain pelumba serba boleh, Muhammad Shaiful Adlan dan Zulhelmi Zainal.

Justeru, beliau berharap agar kesemua bekas pelumba Sapura mampu memanfaatkan peluang diberikan untuk menyinar bersama skuad kebangsaan selepas sering kali dibayangi pelumba luar negara bersama bekas pasukan mereka sebelum ini.

LTdL 2023 dari 23 hingga 30 Sept, akan menampilkan 132 pelumba daripada 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeamdan Continental selain pasukan kebangsaan.

Edisi kali ini menyaksikan laluan melibatkan 11 negeri dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu (184.4km); Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur (157km).

-- BERNAMA