KUALA LUMPUR: Urus niaga berkaitan dadah disyaki motif penculikan seorang wanita di hadapan kedai serbaneka di Jalan Sentul, di sini, dengan nilai tebusan RM100,000.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Isnin lalu, mangsa berusia 30 tahun dilarikan empat suspek termasuk seorang wanita.

Jelasnya, menurut saksi kejadian, mangsa telah ditarik masuk ke dalam kereta jenis Perodua Myvi.

"Bertindak hasil maklumat, kira-kira jam 3 pagi (Selasa), sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya memberkas lima individu temasuk seorang wanita di dua lokasi berasingan di Bukit Damansara dan Sentul.

"Penahanan di Sentul turut berjaya menyelamatkan mangsa," katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa tidak disembunyikan di mana-mana tempat sebaliknya hanya dibawa pusing kira-kira 10 jam di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek berusia 25 hingga 31 tahun mempunyai rekod jenayah lampau.

"Dalam kejadian itu, suami mangsa telah membayar duit tebusan bernilai RM45,000 di mana kes dipercayai berpunca akibat salah seorang rakan suami mangsa berhutang (urus niaga dadah) dengan suspek," ujarnya.

Tambahnya, seorang lagi individu dikenali Mohd Danial Harris Azmi, 26, dengan alamat terakhir di Sungai Petani, Kedah sedang dicari untuk membantu siasatan.

"Kesemua suspek kini direman lima hari sehingga Sabtu untuk siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sinar Harian