KAZAN: Urusan berkaitan kemudahan perjalanan tanpa visa serta penerbangan terus Malaysia dan Rusia perlu disegerakan bagi meningkatkan jumlah pelancong Rusia ke Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada media Malaysia pada sidang akhbar penutup selepas lawatan kerja dua hari beliau ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini, Anwar berkata jumlah pelancong Rusia ke Malaysia masih rendah berbanding negara lain yang mempunyai hubungan baik dengan Moscow.
"Terdapat lima juta pelancong (dari Rusia) setiap tahun ke Turkiye, dua juta ke Thailand. Tetapi, mengapa hanya 100,000 pelancong ke Malaysia?
“Isu penerbangan, isu pembayaran, bentuk pembayaran yang menjadikannya sukar. Kadangkala kita tersekat dengan prosedur lama, kuno, dan terlalu bimbang akan kemungkinan tanggapan dan reaksi negatif negara lain,” kata beliau.
Anwar berkata perkara sama turut melibatkan negara lain termasuk Iran dan isu itu tidak seharusnya dihalang oleh kebimbangan terhadap reaksi negara tertentu.
“Thailand terus mendapat (pelancong Rusia) dan mempunyai hubungan baik (dengan Eropah dan Amerika). Mengapa perkara ini tidak berlaku (di Malaysia) dan mengapa kita tidak memberikan kemudahan yang diperlukan kepada Rusia atau Iran untuk perkara ini?” kata beliau.
Anwar berkata beliau telah membangkitkan perkara itu dalam Kabinet beberapa tahun lepas, namun proses berkenaan masih belum dimuktamadkan.
"Jadi, saya telah berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir. Mungkin kita akan mengambil inisiatif untuk membawanya ke mesyuarat Kabinet akan datang bagi meneruskan perkara ini, beri mereka tempoh beberapa minggu dan kita selesaikannya,” kata beliau.
Beliau turut mempersoalkan kesukaran mewujudkan penerbangan antara Rusia dengan Malaysia sedangkan penerbangan ke negara lain berjalan lancar.
"Terdapat penerbangan dari Rusia ke Thailand. Mengapa begitu sukar untuk datang ke Malaysia? Kita negara yang bebas dan kita bercakap tentang pemusatan di ASEAN,” kata Anwar.
Menurut beliau, Malaysia memahami sensitiviti yang wujud dan akan terus mematuhi undang-undang serta peraturan antarabangsa.
“Sudah tentu kita tahu sensitiviti. Kita tidak akan melanggar apa-apa perkara yang ditetapkan atau dipersetujui, peraturan atau undang-undang. Semestinya kita menghormatinya. Jika ia sekatan antarabangsa yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, maka ya (kita akan mematuhinya). Tetapi kita tidak perlu terlalu bimbang dengan sekatan unilateral yang dikenakan oleh beberapa buah negara. Betul?” kata beliau.
Dilaporkan Rusia berhasrat untuk memansuhkan keperluan visa bagi warganegara Indonesia, Malaysia dan Kuwait pada 2026.
Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala dan Projek Khas di Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia Nikita Kondratyev berkata Malaysia dan Indonesia ialah keutamaan untuk tahun ini.
-- BERNAMA