Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin UMNO Terengganu akan kembali kukuh selepas berakhirnya kemelut politik yang melanda parti di negeri itu.

Beliau mengharapkan agar semua kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, BN Terengganu tidak lagi melihat kebelakang dan meneruskan usaha memimpin serta membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat.

"Kita harap juga pimpinan politik yang tidak menjadi wakil rakyat bersama seperti ketua-ketua bahagian, pemimpin wanita pemuda dan rakyat saya fikir agak merasa lega, maka itu kita harus menumpukan kepada terus masa depan Terengganu dan bagaimana Menteri Besar baru boleh mengambil alih dengan keadaan yang agak licin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Pavillion Malaysia Sempena Expo Dunia Milano 2015 di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berharap semua pihak menerima dan menyokong kepimpinan Menteri Besar yang baru, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang dilantik menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

"Alhamdulillah sudah selesai... Itu yang mustahaknya. Perkara itu telah dapat kita selesaikan dalam tempoh yang paling cepat kerana kita tidak mahu krisis ini berlarutan sebagaimana yang Perdana Menteri sebut , kita terimalah kenyataan itu."

"Mungkin ada sedikit salah faham dan kurang komunikasi, Datuk Seri Najib pun ada sebutkan dan Datuk Seri Ahmad Said pun dah mengaku tapi apa pun kita harus lupakan perkara itu, yang penting bahawa kerajaan BN masih mantap dan masih ada lagi mandat."