Perpaduan kaum yang dimiliki negara tidak seharusnya dipertaruhkan dengan bertindak mengikut emosi.

Nasihat itu diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggesa rakyat untuk terus menghargai dan mempertahankan perpaduan yang dikecapi sehingga hari ini agar ia tidak menjejaskan negara.

"Malaysia merupakan sebuah negara dimana soal perbezaan kaum dan agama bukan satu halangan untuk mencapai perpaduan nasional.

"Namun, kita dikejutkan dengan peristiwa di Plaza Low Yat baru-baru ini yang mengingatkan kepada kita bahawa pentingnya menghargai perpaduan," kata beliau ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana.

Tambah Najib, kehadirian ribuan rakyat pelbagai kaum menunjukkan perpaduan antara kaum perlu dipertahankan.


Sementara itu, suasana di Seri Perdana cukup meriah apabila ribuan tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir di majlis tersebut yang dianjurkan bersama anggota kabinet.

Selain Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri serta barisan ahli kabinet yang lain termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.