HULU SELANGOR: Kementerian Belia dan Sukan tidak sesekali akan meminggirkan kanak-kanak Orang Asli dan luar bandar dalam menyediakan peluang dan akses untuk bersukan.

Menterinya Hannah Yeoh berkata KBS telah memulakan usaha sama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sejak tahun lepas dalam memastikan konsep Sukan Untuk Semua sampai kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Beliau berkata sebagai contoh KBS sudah mewujudkan program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) renang dengan objektif bagi mengurangkan kadar kematian akibat lemas menerusi pendedahan teknik asas berenang kepada kanak-kanak dalam kalangan keluarga B40.

"(Usaha) pembangunan bakat ini kena meluas, tak boleh hanya di kawasan bandar. Saya harap bila kita masuk ke kawasan-kawasan luar bandar seperti ini kita boleh tap kepada bakat di sini.

"Siapa tahu pemain bola sepak paling handal satu hari nanti boleh datang dari sini kerana kanak-kanak hari ini diberi peluang bermain bola sepak dan yang kita kena follow up sekarang adalah untuk pastikan JBSN (Jabatan Belia dan Sukan Negara) akan masuk untuk teruskan klinik-klinik bola," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Klinik Bola Sepak Bersama Komuniti Orang Asli Kuala Kubu Bharu di Kampung Orang Asli Pertak di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hannah berpandangan usaha pencarian bakat baharu perlu dipergiat dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli dan luar bandar berbanding jalan pintas iaitu menaturalisasikan atlet luar menjadi warganegara.

Beliau berkata pendekatan itu selari dengan sasaran jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) melibatkan kerjasama KBS, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Sudah tentu, seperti yang kita tahu program naturalisasi itu ialah program jangka masa pendek saja sepatutnya. Untuk pencarian bakat yang lebih luas apa yang telah kita sasarkan melalui HLC, kita nak libatkan semua sektor pendidikan.

"Bermaksud bila ada kejohanan MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah) atau MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia) kita kena pastikan yang ambil bahagian bukan saja sekolah kebangsaan (tapi) sekolah cina, sekolah tamil, sekolah agama, sekolah tahfiz..banyak bakat di sekolah tahfiz. Saya berharap dalam lima hingga 10 tahun lagi usaha ini akan membuahkan hasil," katanya.

Terdahulu, Hannah menyantuni kira-kira 70 kanak-kanak yang mengikuti klinik bola sepak di sini, sebelum menyerahkan sebiji bola kepada setiap peserta program bagi menggalakkan mereka untuk bersukan.

"Ini satu usaha sama bersama NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara), sejak tahun lepas kita telah ke kawasan luar bandar dan kanak-kanak serta belia di sana memerlukan peralatan sukan untuk mendorong mereka bersenam.

"Setakat ini kita sudah lawat enam negeri, mengadakan 16 klinik bola sepak seperti ini dan telah memberikan sebanyak 3,427 biji bola sehingga hari ini...kita akan teruskan program seperti ini," katanya.

-- BERNAMA