MALAYSIA
Usaha diplomasi Anwar berjaya hentikan konflik Kemboja-Thailand, perkukuh semangat ASEAN

Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta serta tanpa syarat dalam satu pertemuan khas di Putrajaya, yang dipengerusikan oleh Anwar semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand merupakan satu pencapaian besar yang mencerminkan kekuatan semangat ASEAN serta bukti komitmen beliau terhadap diplomasi berpaksikan dialog.
Pengerusi Yayasan RIGHTS Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, dalam ucapan setinggi-tinggi tahniahnya, berkata kewibawaan dan kepimpinan bermoral Anwar sekali lagi membuktikan bahawa kepimpinan yang berprinsip, inklusif serta berpaksikan dialog mampu merungkai ketegangan serantau yang paling meruncing.
Pengarang buku Anwar Ibrahim: Global Justice and Peace Through Dialogue itu berkata kejayaan merealisasikan gencatan senjata itu bukan sahaja pencapaian besar dalam diplomasi tetapi juga kemenangan buat semangat ASEAN, kestabilan serantau dan paling penting, untuk rakyat Kemboja dan Thailand yang berhak menikmati keamanan serta keselamatan.
"Saya berharap kejayaan ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada usaha menginstitusikan dialog dan mengukuhkan amalan diplomasi pencegahan bukan sahaja dalam ASEAN malah di peringkat global," kata bekas Senator dan Ahli Parlimen itu dalam satu kenyataan di sini.Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata itu secara serta-merta serta tanpa syarat susulan ketegangan yang memuncak antara kedua-dua negara di sepanjang sempadan yang dipertikai dalam satu pertemuan khas di Putrajaya, yang dipengerusikan oleh Anwar semalam.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menzahirkan komitmen mereka bagi meredakan ketegangan itu apabila bersetuju melaksanakan gencatan senjata itu secara serta-merta selain memulihkan keadaan untuk kembali seperti biasa bermula 12 malam tadi.
Konflik antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei lepas susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara di Preah Vihear yang meragut nyawa seorang anggota tentera Kemboja.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami