JOHOR BAHRU: Usaha kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau sekatan pergerakan penuh telah berjaya menampakkan kesan positif sekali gus menurunkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di negara ini.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata mengikut unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini, kes harian COVID-19 di negara boleh mencecah lebih 13,000 kes pada 14 Jun lepas sekiranya sekatan itu tidak dilaksanakan.

"Kita berjaya turunkan (merekodkan jumlah kes baharu harian COVID-19) kepada 4,949 kes pada 14 Jun lalu. Mengapa ini berlaku? Kerana tindakan tegas diambil kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh. Ini sudah satu kejayaan bagi mengawal penularan wabak.

"Usaha yang dijalankan kerajaan (dalam mengekang penularan COVID-19) telah mula menampakkan hasil yang positif," katanya pada sidang media selepas melawat PPV industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pihak yang mendakwa pelaksanaan PKP 3.0 sejak 1 Jun lepas tidak akan berjaya menurunkan jumlah kes COVID-19.

Ketika ditanya usaha kerajaan dalam mengawal kluster tempat kerja, Mohamed Azmin berkata antara langkah bagi mengurangkan penularan adalah dengan melaksanakan PKP 3.0 yang bertujuan untuk mengurangkan pergerakan rakyat.

"Ini sudah diterangkan berulang kali oleh KKM bahawa kita harus mengambil tindakan lebih tegas untuk mengawal pergerakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi memastikan kesihatan rakyat terjamin dan kesejahteraan hidup rakyat dapat dipelihara," katanya.

Mengulas mengenai PPV industri di AICC di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), beliau berkata pusat vaksinasi berkenaan merupakan yang kedua di Johor dan akan mula beroperasi pada 28 Jun ini.

-- BERNAMA