Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien hari ini menegaskan sebarang usaha oleh pihak tertentu untuk melaga-lagakan beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga sepupunya tidak akan berjaya.

Beliau dalam masa sama mempersoalkan keperluannya meletak jawatan memandangkan semua tindakan pemulihan terhadap 1MDB sedang dilakukan.

Malah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lantang mengkritik syarikat yang menanggung hutang RM42 billion itu.

“Proses rasionalisasi, penstrukturan semula dan akauntabiliti sedang dilakukan jadi tidak timbul isu saya hendak letak jawatan,

“Keduanya mereka yang cuba nak melagakan kita atau hendak membawa sesuatu isu berhubung kait saya dengan perdana menteri, percayalah ia tidak akan berjaya,

“Kerana yang pentingnya kalau hendak cakap mengenai letak jawatan, semalam (Selasa) beliau telah meletak jawatan,” katanya di Kementerian Pertahanan,di sini.

Hishammuddin turut menjelaskan spekulasi beliau meletak jawatan isu sebagai putar belit negatif pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau dalam masa sama mengesahkan perjumpaan menteri cabinet di Hotel Majestic di Kuala Lumpur malam tadi membincangkan isu pemulihan 1MDB.

Katanya pada pertemuan itu Menteri kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan pelan yang telah diatur yang disifatkan boleh dilakukan.

“Kami semua bukan menteri ekonomi, kami cuma mahu tahu apa yang berlaku dan apa yang dibentangkan kepada kami,” katanya.

Pada Selasa, sekurang-kurangnya 16 menteri kabinet menghadiri perjumpaan tertutup di Hotel Majestic lebih daripada 3 jam.

Antara yang berada di lokasi tersebut adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Turut kelihatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel dan Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.

Perjumpaan itu berlangsung ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di hotel berkenaan untuk acara berlainan dan dikawal ketat pihak polis.