MALAYSIA
Usaha mencari William Yau masih diteruskan
Seminggu lalu, William Yau Zhen Zhong, 6, masih bersama dengan keluarganya -- iaitu ibu bapanya, abangnya Eric (tujuh tahun) dan adik perempuannya, Cindy, yang berusia satu tahun.
Tetapi selepas makan malam pada malam Jan 16, William Yau atau dengan panggilan manja 'Ah Zhong', dilaporkan hilang sehingga hari ini.
Pada kira-kira 8:30 malam hari tersebut, bapanya Yau Kok Kang, 32 dan ibu Goh Ying Ying, 25 telah meninggalkan William dengan adik-beradiknya di dalam kereta untuk melihat mesin basuh di sebuah kedai elektrik di Jalan Putra Mahkota di Putra Heights, Subang Jaya.
Ini mungkin merupakan keputusan yang paling dikesali dalam kehidupan mereka. Apabila mereka kembali ke kereta baru mereka sedar William telah hilang.
Menurut Eric, William telah pergi untuk mencari ibu bapa mereka selepas Cindy mula menangis tanpa henti.
Kisah bagaimana William hilang telah diulang banyak kali oleh Yau dan isterinya dengan harapan mereka akan disatukan dengan anak mereka.
Reaksi orang ramai sangat menggalakkan.
Gambar William telah dikongsi oleh beribu-ribu orang di Internet dan juga sedang dicetak dan diedarkan.
Badan bukan kerajaan, syarikat swasta, agensi kerajaan dan parti-parti politik juga turut menolong dalam pencarian William.
Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah merayu kepada semua rakyat Malaysia untuk membantu mencari William.
Jumlah ganjaran bagi mereka yang mempunyai maklumat sehingga terjumpa William kini, RM30,000.
Setakat ini, polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai kes "orang hilang" dan bukan culik kerana tiada panggilan untuk wang tebusan telah dibuat setakat ini.
Sistem amaran Talian NUR telah dicetuskan dan satu pasukan khas yang diketuai polis Subang Jaya juga telah ditubuhkan.
Polis juga berkata mereka telah menerima banyak panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak William hilang, termasuk mereka yang mendakwa telah melihat budak lelaki itu. Setakat ini, panggilan-panggilan tersebut tidak mendapat apa-apa hasil positif.
Ada juga yang mengambil kesempatan untuk mengganggu keluarga Yau, malah ada juga ancaman dan ada yang meminta wang tebusan. Polis telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai tidak lagi menyeksa keluarga mangsa.
Pasukan polis, termasuk anjing penghidu, masih beronda di sekitar Subang termasuk kawasan setinggan, untuk mencari William.
Harapan masih ada. Anda boleh membantu keluarga Yau dan pihak polis mencarinya.
William memakai t-shirt kuning apabila dia hilang dan mempunyai parut di dahi kirinya. Ketinggian beliau kira-kira 110cm.
Jika anda mempunyai apa-apa maklumat, sila hubungi sama ada Polis Subang Jaya di 03-56319800, Sarjan Goh Lai Thang di 012-2197133, Putra Heights balai polis ketua Sub Inspektor Nordin Mustaffa di 012-3150775 atau bapa William, Yau, di 016-9691616.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami