Skip to main content

Malaysia

Usia 71 tahun bukan halangan, Jamaludin idam lakukan terjunan dari Burj Khalifa

[TB]_penerjun BASE jump Jamaludin Ismail_FB BERNAMA
Jamaludin berkata hasrat untuk melakukan penerjunan dari bangunan setinggi 828 meter itu antara impian yang didambakan sejak sedekad yang lepas. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Faktor usia tidak pernah mematahkan semangat penerjun BASE jump berpengalaman Jamaludin Ismail, 71, untuk terus mencabar kemampuan diri, malah menyimpan impian besar untuk melakukan penerjunan dari bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa.

Jamaludin berkata hasrat untuk melakukan penerjunan dari bangunan setinggi 828 meter (2,717 kaki) itu antara impian yang didambakan sejak sedekad yang lepas.

Anak kelahiran Johor itu mula berkecimpung dalam aktiviti penerjunan pada 1980 menerusi skydiving dari pesawat sebelum beralih kepada BASE jump, dan masih aktif dalam sukan berkenaan sehingga kini.

"Kalau ikut rekod yang pernah dilaporkan, saya sudah melakukan kira-kira 6,000 penerjunan, tetapi jika dikira sejak 1980 mungkin sudah mencecah 10,000 kali.

“Saya sendiri tidak pasti kerana terlalu banyak (lakukan penerjunan),” katanya selepas Majlis Penutup Terengganu International Basejump Challenge 2026 di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini malam tadi.

Bekas jurutera komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata penerjunan tertinggi pernah dilakukannya adalah pada ketinggian kira-kira 25,000 kaki menggunakan pesawat, yang memerlukan penggunaan oksigen.

 Beliau berkata pengalaman dalam bidang ketenteraan banyak membantunya menguasai kemahiran penerjunan, selain pernah menjalani latihan di Pusat Latihan Payung Terjun di Kem Sungai Udang, Melaka.

“Saya jurutera komando dan pernah ditempatkan di Kem Sungai Udang untuk mendalami latihan terjun bebas. Selain latihan, saya juga menyertai pelbagai pertunjukan penerjunan.

“Kalau nampak peluang, termasuk bangunan yang belum siap, saya pernah melakukan penerjunan tetapi semuanya perlu mengambil kira aspek keselamatan dan keadaan di lokasi,” katanya.

Jamaludin berkata penglibatannya dalam dunia penerjunan turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2014 menerusi program ‘Jump for World Peace’, sekali gus menjadi pendorong untuk terus aktif walaupun kini memasuki usia emas.

Beliau berkata rekod dan pengalamannya dalam bidang penerjunan itu turut pernah dicadangkan untuk dibawa ke Dubai bagi satu lagi pengiktirafan, sekali gus membuka peluang kepadanya merealisasikan impian melakukan penerjunan dari Burj Khalifa.

“Burj Khalifa memang menjadi sasaran saya. Kalau ada peluang dan penajaan, saya mahu pergi ke sana untuk merealisasikan impian itu.

“Nama saya sudah dimasukkan dalam perancangan berkaitan rekod tersebut sejak beberapa tahun lepas, tetapi buat masa ini belum dapat dipastikan bila saya boleh ke sana berikutan situasi semasa di negara-negara Teluk,” katanya.

Dalam pada itu, Jamaludin yang menyertai Terengganu International Basejump Challenge 2026 berkata peluang menyertai program berkenaan membolehkannya terus berkongsi pengalaman dengan penerjun dari dalam dan luar negara.

Biarpun sudah berusia lebih tujuh dekad, beliau berkata semangat untuk terus melakukan aktiviti terjun  tidak pernah luntur.

"Selagi ada peluang dan kemampuan, saya akan terus terjun. Ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya," katanya sambil menambah menyimpan hasrat untuk mengharumkan nama Malaysia menerusi penerjunan dari Burj Khalifa pada satu hari nanti.

Program anjuran Kelab BASE Malaya itu bermula 6 hingga 8 Ogos lepas, menghimpunkan 36 peserta dari 12 negara termasuk 10 peserta Malaysia dan 26 peserta dari 11 negara seperti Amerika Syarikat, Kazakhstan, New Zealand, Portugal, China, Australia, Rusia, Thailand dan Indonesia.

Kelab BASE Malaya sebelum ini memaklumkan penganjuran kali ini turut mencatat sejarah apabila lebih 10 peserta dari luar negara menyertai acara berkenaan buat kali pertama di Malaysia.

-- BERNAMA

 

TAG: warga emas, terjunan, rekod dunia, pesara komando, Burj Khalifa

 

 

Must Watch Video

Advertisement